Yang menghairankan aku sendiri, semasa aku berjalan untuk pergi ke sekolah melalui rumah-rumah di sekitar kampung Bumiputra aku tidak pun pergi ke sekolah, tetapi sebaliknya aku menuju di bawah sebuah rumah. Aku duduk di situ sehingga petang dan apabila aku terlihat sekiranya ada budak-budak lain balik dari sekolah, aku pun pulang ke rumah seolah-olah aku juga baru balik dari sekolah. Semasa aku menyorok di bawah rumah tersebut, terdengar suara seorang wanita dari atas rumah yang mengatakan anak siapa pula yang duduk di bawah rumahnya.
Pada suatu petang, seperti biasa aku pulang dari sekolah. Muka ayahku merah memandangku seperti hendak menelanku Rupanya ayahku telah mengetahui yang aku tidak hadir ke sekolah sekian lama yang aku sendiri juga tidak berapa pasti. Beliau telah memegang tali pinggang askarnya untuk menyoalku dan sudah tentu untuk memukulku. Semasa aku sedang membuka pakaianku, aku terlihat ayahku menuju ke arahku dan di tangannya memegang tali pinggang. Dengan tidak berbaju ketika itu dengan cepat aku berlari ke luar dan menyorok mana yang boleh untuk ku selamatkan dkriku. Ayahku mencariku ke segenap pelusok kampung dengan menaiki motor vespanya. Begitu juga dengan kakakku berumur 9 tahun dan sepupuku yang berusia 10 tahun telah disuruh oleh ayahku untuk menangkapku. Pantang nampak kelibat ayahku atau kakakku, aku berlari dan berlari untuk menyelamatkan diriku.
Akhirnya, malang tidak berbau. Semasa aku sedang menyorok di belakang sebuah rumah tiba-tiba tanganku dipegang oleh kakakku dan sepupuku. Aku tidak dapat berlari lagi. Aku ternampak motor vespa ayahku menuju ke arahku. Aku merasa amat takut dan aku tahu apa yang akan berlaku. Ayahku mengangkatku naik ke atas motornya ke rumah kami. Akhirnya tanda birat bekas terkena tali pinggang askar ayahku terbentuk di badan dan kakiku. Aku menangis teresak-esak kerana kesakitan dan sedih. Walau bagaimanapun, aku bersyukur kepada Allah kerana akhirnya sekarang ini aku menjadi seorang manusia yang berguna kerana aku telah bekerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka dan mempunyai pekerjaan tetap untuk menyara diriku dan keluargaku.
No comments:
Post a Comment