Thursday, February 9, 2012

Filem yang pertama tonton di panggung wayang


Diwaktu aku meningkat remaja, aku amat meminati filem hindustan.  Tidak kisahlah siapa  hero atau  heroinnya.  Ketika itu tv aku cuma berwarna hitam putih sahaja. Ketika itu aku baru berumur lebih kurang 11 -12 tahun.  Orang  kata masih anak dara sunti. Setiap kali filem tersebut disiarkan di televisyen, aku pasti akan duduk mengadap televisyen menonton cerita tersebut sehingga tamat filem tersebut. Pada waktu itu, hanya rumah aku sahaja yang ada televisyen dan dengan menggunakan injin dan minyak petrol sahaja kerana kawasan rumah kami yang suatu ketika dahulu dipanggil Kampung Bumiputera yang berdekatan dengan Jalan Jelatik,  tidak mempunyai bekalan elektrik. Maka berkumpullah kami adik beradik, sepupu-sepupu dan jiran-jiran yang rapat duduk di depan televisyen untuk menonton filem hindustan.

Setiap kali aku menonton filem hindustan, sudah semestinya air mataku akan tertumpah berjurai-jurai  bagai mutiara jatuh ke pipi kerana terlalu menghayati filem tersebut. Oleh sebab itu, aku dipanggil oleh sepupuku sebagai artis Ning Yatimah, iaitu artis melayu zaman dahulu yang dikenali sebagai artis air mata kerana sering menangis di dalam filem melayu.

Ketika waktu itu, pelakon lelaki yang paling aku sukai adalah Rajesh Khana, Sunil Dutt, Dramendra.  Artis perempuan pula yang aku sukai adalah Hema Malini, Aisya Parekh dan beberapa lagi yang aku lupa namanya.

Suatu hari, aku telah diajak oleh ibu saudaraku yang aku panggil Waa Zainab untuk menonton filem hindustan berjudul Booby. Anak Waa Zainab, bernama Asmah telah melihat filem Booby ini sudah hampir 15 kali kerana terlalu minat dengan aktor Rishi Kapoor, pelakon baru yang ketika itu paling handsome dan paling muda. Sepupuku sanggup membeli majalah hindustan dan akan memotong gambar-gambar artis tersebut dan ditampalkan ke dalam buku khas dan disimpan untuk  koleksinya...Begitu fanatik sekali dia dengan filem hindustan. Bila aku kenangkan peristiwa itu lucu pula rasanya.

Ibu saudaraku mengajakku adalah kerana mungkin dia berasa kasihan terhadapku yang tidak pernah menonton filem di panggung wayang, kerana pada waktu itu kami sekeluarga dalam kategori orang yang susah juga dan bapaku tidak pernah mengajar kami tentang perkara seumpama itu, kecuali menonton filem di televisyen.

Betapa sukanya hati aku, bila ayah aku pun telah bersetuju dan membenarkan ibu saudaraku membawaku ke panggung wayang. Hari yang dinanti-nantikan telah pun tiba. Sampai sahaja di sana, aku melihat ramai orang  sedang beratur membeli tiket dan ada yang sedang menunggu waktu untuk masuk ke dalam panggung wayang tersebut. Sedang aku berjalan-jalan memerhatikan gelagat orang ramai di situ, tiba-tiba sebelah kasutnya telah terputus. Apa lagi terpaksalah aku mengheret kasutku ke mana-mana saja ibu saudaraku aku pergi. Malunya aku ketika itu, walaupun ketika itu, umurku 11 tahun.

Kalau budak zaman sekarang, sudah tentu tidak mahu bergerak ke mana-mana, kerana tidak mahu orang tahu kasut sudah terkoyak atau terputus tali. dan akan meminta ibu bapa mereka membeli kasut yang baharu.  Sehingga kini pun aku masih  meminati filem hindustan, tetapi jika dibandingkan dengan filem zaman dahulu, rasanya aku lebih suka filem yang lama kerana filem hindustan sekarang terlalu seksi dan mengairahkan dan tidak sesuai ditonton oleh budak-budak kecil...







Wednesday, July 13, 2011

PINDAH SEMULA KE KUALA LUMPUR!

Aku telah mendengar berita iaitu ura-ura ayahku akan berpindah semula ke Kuala Lumpur kerana akan mendapat pekerjaan di sana.  Ketika itu aku berusia sepuluh tahun.  Perasaan seronok dan sedih pun ada ketika aku mengetahuinya  kerana aku sudah mula seronok berada di felda ini.  Aku juga mendengar berita yang kami akan pergi dahulu ke Kuala Lumpur dengan membawa barang yang mustahak sahaja dan barang-barang di dalam rumah akan dibawa kemudian.

Setiba sahaja kami di Kuala Lumpur, kami tinggal di rumah ibu saudaraku yang aku panggil wa sahaja iaitu kakak sulong kepada ayahku   di Kampung Bumiputra, berdekatan dengan Jalan Jelatik,  Ibu saudaraku juga bukanlah orang berada tetapi memandangkan kami tidak lagi mempunyai tempat tinggal, kami terpaksa menumpang dahulu di rumahnya.  Tetapi lumrah manusia bak kata pepatah orang lama bila jauh bau bunga bila dekat bau tahi.  Akhirnya ayahku terpaksa mencari rumah sewa  yang tidak berapa jauh jauh dari rumah ibu saudaraku itu.  

Memang rumahnya agak besar, tetapi lantainya lantai tanah dan ada pangkin kayu yang kami semua gunakan untuk tidur.  Di sebelah rumah kami ada tempat untuk memasak iaitu menggunakan kayu api. Tetapi kami tidak kisah pun, kerana kami semua masih kecil dan tidak memahami kesulitan yang dirasai oleh ayahku.  Ayahku masih belum lagi bekerja, mungkin surat tawaran belum lagi diterima atau tarikh kuatkuasa untuk bertugas jauh lagi ke bulan depan, tidaklah aku ketahui.  Pakaian harian kami pun, tidak banyak, kerana kami tidak membawa banyak pakaian dari rumah di felda, Bukit Puchong. 

Setiap hari tugas aku dan kakakku akan pergi ke Pasar Keramat, Kuala Lumpur dan berjumpa dengan kawan ayah yang berniaga di situ.  Namanya yang aku ingat ialah Mat Lebun.  Kami akan mengambil keperluan yang asas sahaja iaitu sayur, mee, kerang dan sedikit ikan untuk dibawa pulang.  Semuanya barangan tersebut tidak lagi dibayar tetapi ditulis di buku lima (buku lima terkenal dengan nama buku hutang).  Jika kami tiada beras untuk dimasak, kami akan makan mee sahaja sehingga aku rasa muak untuk memakannya.  Aku juga pernah mendengar yang ibu tiriku terpaksa meminjam beras dari jiran di sekeliling kami untuk dimasak.  Ada juga jiran-jiran membantu apa yang mereka mampu.  Bayanglah ketika itu kami adik beradik ada 8 orang dan ayahku terpaksa memikirkan untuk mencari makanan sesuap nasi untuk kami semua.  Semasa itu kami adik beradik tidak bersekolah kerana mungkin kerana ayahku tidak menguruskan lagi pertukaran persekolahan kami kerana tidak ada wang ataupun cuti sekolah di hujung tahun.

Hari berganti hari, sehinggalah sampai bulan Ramadhan akan menjelang.   Aku boleh bayangkan bagaimana berserabutnya fikiran ayahku ketika itu.  Mana nak cari duit untuk makan, mana nak cari duit untuk baju baru.  Apabila aku teringat kisah itu, aku berasa sungguh sedih kerana ayahku mengharung kesusahan dan keperitan hidup seorang diri, kerana kami masih lagi kecil ketika itu...
Esok hari raya akan menjelma.  Ayahku dikunjungi oleh beberapa orang surau Kampung Bumiputra dan rupa-rupanya mereka memberi sedikit wang zakat kepada ayahku untuk keperluan hari raya.  Ayahku menerima wang tersebut dengan linangan air mata, kerana selama ini dia membayar zakat fitrah setiap tahun tetapi kali ini dia pula yang  menerima wang zakat fitrah dari orang lain.

Akhirnya surat yang ditunggu-tunggu telah pun tiba ke tangan ayah, iaitu surat panggilan bekerja dari  Kementerian Dalam Negeri.   Apabila ia telah mendapat pekerjaan, beliau terus mencari rumah sewa yang lebih selesa sedikit.  Kebetulan rumah sewa tersebut betul-betul bersebelahan dengan rumah ibu saudaraku itu.  Walaupun kecil sedikit tetapi kami tidak perlu lagi memakai selipar kerana rumah baru itu  berlantaikan papan.

Apabila ayahku mendapat gajinya yang pertama, beliau telah membeli barangan dapur seperti tepung gandum 1 guni, beras 2-3 kampit, gula, minyak masak 3-4 botol dan sebagainya dalam kuantiti yang agak besar.   Mungkin beliau berniat di dalam hati, jika beliau mendapat gajinya itulah yang beliau akan utamakan dahulu. 

Keadaan kami semakin lama semakin senang daripada dahulu.  Ayahku telah membeli rumah yang kami sewa itu dan mengupah orang untuk membesarkannya memandangkan kami juga semakin membesar.  Barulah kami ada bilik tidur yang selesan dan berasingan dari tempat tidur ayahku. 

Monday, April 4, 2011

ORANG MINYAK

Bila aku menonton filem P. Ramlee berjudul Orang Minyak, aku merasakan P. Ramlee adalah seorang seniman yang mengkaji tentang orang minyak sebelum membuat filem tersebut. Apabila aku bercerita dengan kawan-kawanku tentang orang minyak, ramai yang berasa pelik dan hairan di atas apa yang pernah aku alami. Kisah orang minyak yang telah menjadi sejarah dalam hidupku telah bermaharaja lela di Felda Bukit Puchong, Triang, Pahang sekitar tahun 1972 benar-benar terjadi dalam hidupku. Cerita orang minyak itu bermula begini...

Semasa kejadian itu berlaku, aku berusia 10 tahun. Lebih kurang dua minggu sebelum kejadian di malam itu berlaku, boleh dikatakan setiap malam aku akan terjaga dari tidur. Kejadian ini kerap berlaku sekitar jam 12.00 tengah malam hingga 2.00 pagi. Badanku akan berpeluh-peluh dan menggigil kesejukan. Tetapi aku tidak pernah mengadu kepada ayahku apatah lagi kepada ibu tiriku apa yang terjadi kepada diriku. Mungkin sikap kanak-kanak memang begitu agaknya.

Pada malam itu, kawan sekerja bapaku telah datang ke rumah kami. Mereka berbual-bual kosong sambil bercerita. Sedikit sebanyak aku terdengar juga mereka bercerita satu kisah yang menyeramkan. Salah satu cerita yang aku dengar ialah kisah kubur yang telah dikorek kembali. Yang amat menakutkan aku ialah kuku mayat itu tumbuh dengan panjangnya hingga melengkar melilit tubuh mayat tersebut. Aku tidak pasti kesahihan cerita itu, kerana semasa aku terdengar cerita tersebut aku amat mengantuk dan terus masuk ke bilik untuk tidur.

Tiba-tiba aku terjaga dari tidur. Aku terlihat ada satu bayangan lembaga hitam sedang berdiri di pintu bilikku sambil memandang ke arah bilik tidur kami. Di sebelah bayangan hitam itu ada seekor kucing. Pada masa itu hanya pelita sahaja yang menerangi bilik tidur kami. Kelambu tempat ayahku tidur bersebelahan dengan kelambu tempat aku dan kakakku tidur.  Adik lelakiku pula di sebelah kelambu aku dan kakakku.  Kami sekeluarga tidur menggunakan kelambu untuk mengelakkan dari gigitan nyamuk.  Pernah ketika balik kampung, aku disuruh tidur dalam kelambu, rasa lemas tidak bernafas.
Pada mulanya aku menyangka ayahku yang sedang berdiri di situ. Tetapi di dalam hatiku berkata mengapa ia hanya berdiri di situ sambil memandang ke arah bilik tidur kami. Setelah agak lama aku memerhatikannya, aku lihat bayangan itu bergerak-gerak seolah-olah mengetahui aku sedang memerhatikannya. Barulah aku tahu bayangan lembaga hitam itu bukan ayahku. Badannya aku lihat berkilat-kilat kehitaman. Memang sah itu bukan ayahku, lantas aku pun menjerit sekuat-kuat hatiku. Aku merasakan seolah-olah lembaga itu telah masuk ke dalam kelambuku. Kakiku dengan kuat menendang-nendang lembaga tersebut. Apabila aku tersedar, aku melihat ayahku sedang memelukku.

Tiba-tiba ayahku dengan tangkas terus berlari ke luar dari bilik tidur kami menuju ke serambi. Menurut cerita ayahku, beliau nampak seolah-olah ada kelibat bayangan hitam di dalam rumah kami berlari ke luar. Sebab itulah dia berlari untuk mengejar lembaga hitam itu. Keesokan harinya semua penduduk di kawasan Felda Bukit Puchong gempar dengan berita tersebut. Apa yang aku ketahui, rumahku betul-betul berhadapan dengan simpang jalan yang berbentuk T juga merupakan laluan bagi sesiapa sahaja. Menurut kata orang tua-tua, hantu mana boleh jalan belok-belok, kalau dia nak jalan terus sahaja. Waulahualam...

Ingatkan kisah itu tidak berlaku lagi. Rupanya ada lagi kesinambungan ceritanya. Pada malam kedua pula, kebetulan bapa saudaraku yang tinggal bersama kami ketika itu masih bujang, tidur di rumah Pengurus Felda di Bukit Puchong itu, kerana ia berkawan dengan adik Pengurus Felda tersebut. Semasa mereka tidur, bapa saudaraku telah terjaga dari tidur kerana terdengar bunyi bising pinggan mangkuk berlaga-laga di dapur. Lantas ia pun menggerakkan kawannya bangun.

Menurut cerita bapa saudaraku, adik Pengurus Felda itu telah mengambil senapang patah dan dengan perlahan mereka menuju ke ruangan dapur. Alangkah terperanjatnya mereka, kerana kelihatan satu lembaga hitam berkilat-kilat berada di ruangan dapur itu seolah-olah sedang memasak sesuatu. Adik Pengurus Felda itu terus mengacukan senapang patah ke arah lembaga itu. Apabila lembaga itu melihat ada orang melihatnya, dengan tiba-tiba badannya mengecil dan terus mengecil hilang di tingkap yang telah terbuka. Meremang bulu romaku apabila mengenangkan peristiwa ini.

Penduduk Felda Bukit Puchong menjadi semakin gempar. Laporan kepada pihak polis telah dibuat. Pada malam ketiga pula orang minyak ini mengganggu seluruh penduduk di situ pula. Sekejap terdengar jeritan di hujung sebelah kanan, sekejap lagi terdengar jeritan di sebelah kiri pula. Keadaan menjadi kelam kabut. Ada seorang penduduk itu bercerita, ia mendengar seolah-olah bunyi budak menangis, apabila ia membuka pintu di lihatnya ada seekor monyet yang mukanya sebesar talam berdiri di luar. Semua penduduk di situ sentiasa di dalam ketakutan, begitu juga dengan aku sampai hendak membuang air pun takut hendak memasuki tandas.  Tandas dahulu di luar rumah, bukan seperti sekarang ini  tandas di dalam rumah.  Terpaksalah aku menyuruh adikku menemaniku ke tandas walaupun hari siang.  Merungut-rungut adikku kerana sikap penakutku itu.

Akhirnya penduduk di situ telah bermesyuarat. Mereka meletakkan lima enam keluarga di dalam satu rumah. Pihak lelaki pula berjaga di luar rumah. Semasa mereka berkawal dan telah terelihat lembaga itu, mereka memekik sambil mengepung kawasan itu, tetapi lembaga itu hilang begitu sahaja. Pernah ayahku bercerita, ia nampak lembaga itu sedang berjalan begitu hampir dengannya, lalu dengan cepat ayahku terus mengejar lembaga itu untuk menangkapnya. Oleh kerana ia terlalu geram dengan orang minyak itu, semasa ia mengejarnya ia tidak sedar ia telah berada di suatu kawasan semak yang gelap gelita. Malangnya orang minyak itu hilang jua. Perlbagai usaha telah dibuat tetapi orang minyak itu masih lagi bermaharaja lela di felda itu.

Kemudian, ada seseorang penduduk di situ yang telah mencadangkan agar menggunakan khidmat seorang bomoh.  Kata sepakat telah diambil, mereka semua bersetuju menggunakan khidmat bomoh.  Bomoh handal telah dikenal pasti, seorang bomoh muda dari istana dari Negeri Perak. Pihak Felda Bukit Puchong sendiri memberi keizinan menggunakan kenderaan untuk mengambil bomoh tersebut untuk dibawa ke Felda Bukit Puchong. Semasa di dalam perjalanan  menuju ke felda tersebut, menurut cerita ayahku tiba-tiba bomoh itu menyuruh pemandu itu berhenti dan ia pun keluar dari kenderaan tersebut. Rupanya ia telah dapat mencium tempat pemujaan orang minyak itu dan ia mematikan tempat pemujaan itu dengan caranya. Setelah selesai mereka meneruskan perjalanan dan menuju ke suatu rumah yang telah dipersetujui oleh semua penduduk felda tersebut.

Pada pagi itu, semua penduduk felda tersebut telah berkumpul di suatu tempat yang lapang.  Setelah bomoh tersebut membuat telekannya, beliau memaklumkan orang yang menjelma menjadi orang minyak itu adalah penduduk di situ juga.  Aku tidak pasti bagaimana ia menerangkan kepada semua penduduk di situ, tetapi yang pastinya mereka semua telah mengetahui siapakah orang yang dimaksudkan.  Semua penduduk di situ telah pergi ke rumah orang yang disyaki.   Ayahku bererita lagi, memandangkan tiada siapa yang berani untuk ke depan, lalu beliau terus pergi ke rumah orang itu dan mengetuk pintu dengan kuat.  Bila ayahku mengatakan beliaulah selama ini yang menjadi orang minyak, tetapi beliau menafikannya.  Ayahku terus mengoyakkan bajunya. Apa lagi bersirat-sirat tangkal bergayut di lehernya.   Akhirnya ayahku menangkapnya dan membawanya ke tempat bomoh tersebut. 

Semasa sampai di situ, bomoh tersebut juga telah mengatakan benarkah beliau yang empunya angkara.  Tetapi sekali lagi beliau menafikannya.  Bomoh tersebut mengatakan, jika tidak mengaku beliau akan melumurkan darah ayam hitam ke seluruh tubuh beliau.  Mungkin itu sumpahannya atau pantang larangnya tidaklah aku ketahui.   Akhirnya orang itu pun mengaku bersalah.   Pengurus Felda Bukit Puchong itu telah menjatuhkan hukuman beliau dibuang daerah, dan tidak boleh lagi bekerja di situ. Menurut ayahku, orang  minyak itu berasa iri hati  adalah disebabkan ayahku telah dilantik sebagai penyelia walaupun masih baru.  Menurut ayahku, Pengurus Felda itu telah melantik ayahku menjadi penyelia adalah berdasarkan pengalaman kerja sebelum ini dan kebolehan ayahku boleh bertutur bahasa Inggeris.  Waulahualam.......

Thursday, March 3, 2011

TINGGAL BERSAMA IBU TIRI..

Dari kampung kami singgah di Kuala Lumpur, rumah kakak ayahku. Setelah itu, ayahku telah membawa kami adik-beradik ke rumahnya di Bukit Puchong, Temerloh Pahang. Bermulalah episod kami adik beradik duduk dengan ibu tiri. Sejak dari hari itu kami tidak lagi merasai kasih sayang seorang ibu, tidak lagi dapat menikmati masakan ibu dan mulut kami juga tidak lagi menggunakan perkataan mak. Sejak ayahku berhenti dari askar ia telah memohon untuk bekerja di felda.

Ibu tiriku sudah mempunyai seorang anak yang sebaya dengan adikku yang keenam ketika itu. Kedua-duanya lahir pada tahun 1970. Beza antara mereka hanya 6 bulan. Tugas menjaga adik-adikku yang masih kecil itu telah menjadi tugas kakak dan aku. Aku dan kakakku akan memastikan adik-adikku mandi pagi dan petang, makan pakai mereka dan juga keselamatan mereka. Memandangkan kami masih kecil, kadang kala sambil bermain teng-teng sambil mendukung adikku yang masih kecil. Sedih ada lucu pun ada.

Rumah penduduk di situ semuanya sama sahaja bentuknya. Memandangkan kawasannya di pendalaman, masakan ikan laut sukar didapati. Kami kerap memakan ikan sungai seperti ikan talapia, siput sedut, ikan sadin dalam tin, ikan masin dsbnya.
Sekolahku pula terletak di Bukit Mendi, bersebelahan dengan Bukit Puchong. Setiap pagi kami akan dihantar menggunakan lori trelar ke sekolah dan begitu juga di waktu pulang dari sekolah. Perjalanannya mengambil masa hampir 30 minit (jika tidak silap). Jika hari hujan, kasut kami penuh dengan tanah merah kerana jalannya tidak sepenuhnya jalan tar.
Pada suatu hari, ayahku membawa pulang sebuah basikal baru. Memandangkan aku dan kakakku tidak mahir untuk menaiki basikal, kami pun belajar untuk menaikinya. Seperti biasa aku sebagai pembonceng sahaja kerana aku takut untuk membawanya. Satu peristiwa lucu yang masih aku ingat ialah pada hari pertama semasa pulang dari sekolah, kami beramai-ramai berlumba-lumba untuk pulang ke rumah. Basikal kami yang paling di hadapan. Memandangkan jalannya tidak rata dan tanahnya pula merekah-rekah, kami terpaksa menaiki bukit dan menuruni bukit. Kakakku terpaksa menggunakan sekuat tenanganya untuk mengayuh basikal kerana aku ada di belakang sebagai pembonceng. Tiba-tiba semasa turun bukit, dia tidak dapat mengawal basikalnya. Basikal kami menuruni bukit dengan lajunya. Aku menjerit ketakutan, di kiri kanan jalan pula ada gaung yang curam. Lantas aku terus mengepit tayar basikal dengan kakiku dengan mengharapkan agar basikal itu akan berhenti. Apa lagi, beg sekolah kami dan kedua-dua kasutku terjatuh di belakang. Kami jatuh dari basikal ketika hendak menaiki bukit. Nasib baik ada kawan-kawan di belakang mengambil beg sekolah kami dan kasutku dan memberikan kepada kami semula.

Tuesday, December 28, 2010

IBU DI BELAKANG!

Semasa kami berada di kampung, pelbagai aktiviti dapat kami pelajari iaitu salah satunya ialah belajar menaiki basikal. Disamping itu kami juga mencari tombong kelapa di tempat kelapa yang akan disalai. Di kampungku terkenal dengan buah kelapa. Sepanjang pemandangan di kampungku di kiri dan kanan hanyalah pokok kelapa yang tinggi melangit.

Apabila tiba musim bapa saudaraku dan atukku menurunkan buah kelapa, mereka menggunakan buluh yang panjang dan sabit diikat dihujungnya. Jika buluh itu tidak panjang, mereka akan membuat sambungan dengan buluh yang lain agar ia lebih panjang. Untuk menaikkan buluh juga memerlukan kemahiran dan kekuatan fizikal. Bapa saudaraku dan atukku akan menurunkan buah kelapa yang tua sahaja. Semasa menurunkan buah kelapa, bunyi dentuman terdengar di sini sana. Setelah semua buah kelapa tua diturunkan, mereka akan mengumpulkan buah kelapa dan dijadikan beberapa longgok.

Keesokan harinya mereka akan membuang kulit kelapa dengan menggunakan cop. Setelah kulit kelapa dibuang, sabutnya diletakkan di satu longgok dan buah yang tidak bersabut akan diletakkan di satu longgok yang lain. Begitu pantas dan cepat mereka menanggalkan sabut dari buah kelapa. Setelah habis semua buah kelapa dibuang sabutnya, bapa saudara dan atokku akan memecahkan buahnya dengan menggunakan cop yang digunakan untuk menanggalkan sabut tadi. Buah kelapa tersebut dipecah menjadi kepada dua bahagian. Akhir sekali buah tersebut akan dimasukkan ke dalam guni dan dibawa ke rumah salai. Semasa buah tersebut diletakkan di rumah salai, di sinilah kami adik beradik mencari tombong yang manis untuk dimakan. Pernah adikku Faizah yang ketika iatu berumur 5 tahun, sibuk mencari tombong tiba-tiba kakinya tergelincir dan jatuh ke bawah. Terpaksalah ibuku mencari tukang urut untuk mengurut adikku. Perlbagai aktiviti di kampung kami lakukan.

Di suatu petang, kelihatan dari jauh ada orang lelaki sedang menuju ke rumah kami. Rupa-rupanya ayahku pulang. Kami semua berlari menuju ke arahnya. Kegembiraan kami terserlah pada malam itu semasa kami semua makan malam bersama-sama.

Keesokan harinya kami dibangunkan lebih awal oleh ibuku. Setelah kami semua mandi kami dipakaikan baju baru oleh ayahku Yang peliknya ibuku tidak pula bersiap-siap seperti kami semua. Ia asyik membuat sarapan kami di dapur. 

Semasa ayahku sedang memakaikan bajuku dan adik-adiku yang lain, ia berkata kepadaku jika ada sesiapa yang bertanyakan ibu semasa kami berjalan keluar dari kampung  nanti, katakan ibu ada di belakang. Aku tidak tahu kenapa ayahku berkata demikian. 

Sebelum kami pergi, ibuku memeluk kami semua sambil menangis, aku juga menangis walaupun tidak mengerti apa yang telah berlaku. Barulah aku mengerti bahawa ibuku tidak mahu lagi mengikuti ayahku disebabkan tidak mahu tinggal  bersama dengan ayahku yang  telah berkahwin lagi.





Friday, December 17, 2010

BALIK KAMPUNG

Pada hujung tahun 1969 Ibuku dan kami lima beradik telah berhijrah ke kampung ibu di Tanah Lalang, Perak. Aku sendiri tidak pasti kenapa kami berada kampung tersebut, mungkin ibuku mempunyai alasannya yang tersendiri untuk tinggal di kampungnya. Ayahku pula tinggal di Kuala Lumpur bersama isteri barunya.

Di kampungku ketika itu tidak ada sebarang kemudahan seperti api dan air. Apabila waktu malam kami semua berkumpul mengadap lampu pelita kerana di sekeliling kami gelap gelita. Di hadapan rumah atukku pula ada sebuah kolam yang besar dan agak dalam yang dikhaskan untuk mandi sahaja. Ada tangga yang diletakkan ditepi kolam tersebut untuk memudahkan kami turun ke bawah. Setiap kami mandi, air kolam tersebut akan menjadi keruh dan selalu menjadi kemarahan atukku kerana sikap kami yang bermain di dalam kolam tersebut. Selepas mandi kami aku melalui batang kelapa untuk naik ke rumah untuk mengelakkan kaki kami tidak terkena tanah atau kekotoran. Tinggal di kampung dapat juga kami belajar menaiki basikal. Pernah kakakku jatuh ke dalam parit kerana menaiki basikal atuk yang besar. Seronok juga bila mengenangkan cara hidup yang sedemikian.
Pada awal bulan Januari 1970 Aku dan kakakku di sekolahkan di sekolah rendah di kampung tersebut. Semasa itu, aku berumur 9 tahun dan kakakku pula berumur 10 tahun. Pada hari pertama kami bersekolah di situ, ada perhimpunan di depan sekolah kerana kebetulan hari itu hari Isnin. Semua murid-murid dan guru-guru berhimpun di situ. Setelah Guru Besar memberi amanat kepada semua, beliau memaklumkan ada dua orang murid baru dari Kuala Lumpur bersekolah di sekolah ini. Sudah semestinya aku dan kakakku yang diperkatakan oleh guru besar itu. Kami di suruh berdiri ke hadapan di hadapan semua murid-murid tersebut. Yang agak mengharukan aku ialah bila guru besar tersebut memaklumkan kepada murid-murid di situ, mereka sepatutnya memakai pakaian sekolah seperti kami yang lengkap dengan stokin dan kasut. Barulah aku sedari semasa kami bersekolah di situ, ada yang memakai selipar dan ada yang memakai kasut tanpa stokin. Kekurangan tersebut kemungkinan kerana kedaifan keluarga mereka ataupun kerana sukar untuk membelinya kerana jauh dari kedai. Itulah kelebihan bersekolah di bandar ketika itu yang lebih menitikberatkan disiplin dan lain-lain lagi. Tetapi sekarang ini aku lihat sama sahaja.

Setiap kali aku pulang dari sekolah aku akan melalui kawasan tanah perkuburan dan aku akan berlari sekuat hati kerana sebelum ini aku tidak pernah melihat pun kawasan tanah perkuburan.

Semasa peperiksaan pertengahan tahun aku telah mendapat nombor 3. Ini bermakna di dalam kelasku ada 2 orang lagi yang lebih pintar dariku walaupun mereka tinggal di kampung yang serba kekurangan. Bagaimanakah hidup mereka sekarang? Mungkin hidup mereka lebih bernasib baik dari aku atau sebaliknya. Aku sendiri pun tidak tahu.....

Tuesday, November 9, 2010

SEDANGKAN NABI KASIHKAN UMAT!

CUBAAN UNTUK BERBAIK-BAIK!

Kini ayahku telah mempunyai dua orang isteri.  Isteri tua yang mempunyai lima orang anak dan isteri kedua yang masih muda remaja berusia 17 tahun.  Isterinya yang kedua tinggal bersama nenek saudaraku di seberang lombong di Kampung Bumiputera. Sekarang lombong itu sudah pun tiada lagi, yang tinggal hanyalah lubuk sampah sarap yang begitu kotor dan berbau busuk.  Dahulu lombong itu menjadi tumpuan orang Cina memungut buah dan bunga teratai yang banyak tumbuh di situ.  Kami juga sering memancing ikan dan juga menjadi tempat penghuni di kampung tersebut mandi manda dan membasuh baju.  Airnya juga amat jernih.

Suatu petang kulihat satu rombongan telah datang ke rumahku.  Di suatu sudut kelihatan ibuku duduk di tepi tingkap sambil memandang ke luar sambil menangis.  Mukanya hanya memandang ke arah luar tingkap dan tidak mengendahkan tetamu yang hadir di rumah kami. Ku lihat nenek saudaraku, makcik-makcik yang tinggal berdekatan dengan rumah nenekku dan yang tetamu yang tidak diundang ialah ibu tiriku yang sedang duduk di ruang tamu. Ayahku pula duduk di antara dapur dengan ruang tamu sambil melihat ibuku yang asyik memandang ke luar tingkap. 

Tiba-tiba ayahku memberi isyarat kepada ibu tiriku supaya bersalaman dan memohon maaf pada ibuku.  Ibu tiriku bangun berjalan dan menuju ke arah ibuku sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman.  Ibuku buat-buat tidak tahu sahaja seolah-olah ibu tiriku tidak wujud di hadapannya.   Setelah hampir 5 minit, ayahku menyuruh ibu tiriku bangun.  Ibu tiriku membalas dengan bertutur dalam bahasa Inggeris dengan ayahku yang bermaksud dia hendak menunggu di situ untuk mendengar suara ibuku.  Ayahku marah dan menyuruh ibuku tiriku bangun dan keluar.   Ibu tiriku terus berlari keluar dari rumahku dan berjalan balik menuju ke rumah nenek saudaraku tanpa ditemani oleh sesiapa. Akhirnya rancangan ayahku supaya isteri-isterinya berbaik-baik dan berkenalan sesama mereka tidak kesampaian.