Wednesday, July 13, 2011

PINDAH SEMULA KE KUALA LUMPUR!

Aku telah mendengar berita iaitu ura-ura ayahku akan berpindah semula ke Kuala Lumpur kerana akan mendapat pekerjaan di sana.  Ketika itu aku berusia sepuluh tahun.   Perasaan seronok dan sedih pun ada ketika aku mengetahuinya  kerana aku sudah mula seronok berada di felda ini.  Aku juga mendengar berita yang kami akan pergi dahulu ke Kuala Lumpur dengan membawa barang yang mustahak sahaja dan barang-barang di dalam rumah akan dibawa kemudian.

Setiba sahaja kami di Kuala Lumpur, kami tinggal di rumah ibu saudaraku yang aku panggil wa sahaja iaitu kakak sulong kepada ayahku   di Kampung Bumiputra, berdekatan dengan Jalan Jelatik,  Ibu saudaraku juga bukanlah orang berada tetapi memandangkan kami tidak lagi mempunyai tempat tinggal, kami terpaksa menumpang dahulu di rumahnya.  Tetapi lumrah manusia bak kata pepatah orang lama bila jauh bau bunga bila dekat bau tahi.  Akhirnya ayahku terpaksa mencari rumah sewa  yang tidak berapa jauh jauh dari rumah ibu saudaraku itu.  Memang rumahnya agak besar, tetapi lantainya lantai tanah dan ada pangkin kayu yang kami semua gunakan untuk tidur.  Di sebelah rumah kami ada tempat untuk memasak iaitu menggunakan kayu api. Tetapi kami tidak kisah pun, kerana kami semua masih kecil dan tidak memahami kesulitan yang dirasai oleh ayahku.  Ayahku masih belum lagi bekerja, mungkin surat tawaran belum lagi diterima atau tarikh kuatkuasa untuk bertugas jauh lagi ke bulan depan, tidaklah aku ketahui.  Pakaian harian kami pun, tidak banyak, kerana kami tidak membawa banyak pakaian dari rumah di felda, Bukit Puchong. 

Setiap hari tugas aku dan kakakku akan pergi ke Pasar Keramat, Kuala Lumpur dan berjumpa dengan kawan ayah yang berniaga di situ.  Namanya yang aku ingat ialah Mat Lebun.  Kami akan mengambil keperluan yang asas sahaja iaitu sayur, mee, kerang dan sedikit ikan untuk dibawa pulang.  Semuanya barangan tersebut tidak lagi dibayar tetapi ditulis di buku lima (buku lima terkenal dengan nama buku hutang).  Jika kami tiada beras untuk dimasak, kami akan makan mee sahaja sehingga aku rasa muak untuk memakannya.  Aku juga pernah mendengar yang ibu tiriku terpaksa meminjam beras dari jiran di sekeliling kami untuk dimasak.  Ada juga jiran-jiran membantu apa yang mereka mampu.  Bayanglah ketika itu kami adik beradik ada 8 orang dan ayahku terpaksa memikirkan untuk mencari makanan sesuap nasi untuk kami semua.  Semasa itu kami adik beradik tidak bersekolah kerana mungkin kerana ayahku tidak menguruskan lagi pertukaran persekolahan kami kerana tidak ada wang ataupun cuti sekolah di hujung tahun.

Hari berganti hari, sehinggalah sampai bulan Ramadhan akan menjelang.   Aku boleh bayangkan bagaimana berserabutnya fikiran ayahku ketika itu.  Mana nak cari duit untuk makan, mana nak cari duit untuk baju baru.  Apabila aku teringat kisah itu, aku berasa sungguh sedih kerana ayahku mengharung kesusahan dan keperitan hidup seorang diri, kerana kami masih lagi kecil ketika itu...
Esok hari raya akan menjelma.  Ayahku dikunjungi oleh beberapa orang surau Kampung Bumiputra dan rupa-rupanya mereka memberi sedikit wang zakat kepada ayahku untuk keperluan hari raya.  Ayahku menerima wang tersebut dengan linangan air mata, kerana selama ini dia membayar zakat fitrah setiap tahun tetapi kali ini dia pula yang  menerima wang zakat fitrah dari orang lain.

Akhirnya surat yang ditunggu-tunggu telah pun tiba ke tangan ayah, iaitu surat panggilan bekerja dari  Kementerian Dalam Negeri.   Apabila ia telah mendapat pekerjaan, beliau terus mencari rumah sewa yang lebih selesa sedikit.  Kebetulan rumah sewa tersebut betul-betul bersebelahan dengan rumah ibu saudaraku itu.  Walaupun kecil sedikit tetapi kami tidak perlu lagi memakai selipar kerana rumah baru itu  berlantaikan papan.

Apabila ayahku mendapat gajinya yang pertama, beliau telah membeli barangan dapur seperti tepung gandum 1 guni, beras 2-3 kampit, gula, minyak masak 3-4 botol dan sebagainya dalam kuantiti yang agak besar.   Mungkin beliau berniat di dalam hati, jika beliau mendapat gajinya itulah yang beliau akan utamakan dahulu. 

Keadaan kami semakin lama semakin senang daripada dahulu.  Ayahku telah membeli rumah yang kami sewa itu dan mengupah orang untuk membesarkannya memandangkan kami juga semakin membesar.  Barulah kami ada bilik tidur yang selesan dan berasingan dari tempat tidur ayahku.