Monday, April 4, 2011

ORANG MINYAK

Bila aku menonton filem P. Ramlee berjudul Orang Minyak, aku merasakan P. Ramlee adalah seorang seniman yang mengkaji tentang orang minyak sebelum membuat filem tersebut. Apabila aku bercerita dengan kawan-kawanku tentang orang minyak, ramai yang berasa pelik dan hairan di atas apa yang pernah aku alami. Kisah orang minyak yang telah menjadi sejarah dalam hidupku telah bermaharaja lela di Felda Bukit Puchong, Triang, Pahang sekitar tahun 1972 benar-benar terjadi dalam hidupku. Cerita orang minyak itu bermula begini...

Semasa kejadian itu berlaku, aku berusia 10 tahun. Lebih kurang dua minggu sebelum kejadian di malam itu berlaku, boleh dikatakan setiap malam aku akan terjaga dari tidur. Kejadian ini kerap berlaku sekitar jam 12.00 tengah malam hingga 2.00 pagi. Badanku akan berpeluh-peluh dan menggigil kesejukan. Tetapi aku tidak pernah mengadu kepada ayahku apatah lagi kepada ibu tiriku apa yang terjadi kepada diriku. Mungkin sikap kanak-kanak memang begitu agaknya.

Pada malam itu, kawan sekerja bapaku telah datang ke rumah kami. Mereka berbual-bual kosong sambil bercerita. Sedikit sebanyak aku terdengar juga mereka bercerita satu kisah yang menyeramkan. Salah satu cerita yang aku dengar ialah kisah kubur yang telah dikorek kembali. Yang amat menakutkan aku ialah kuku mayat itu tumbuh dengan panjangnya hingga melengkar melilit tubuh mayat tersebut. Aku tidak pasti kesahihan cerita itu, kerana semasa aku terdengar cerita tersebut aku amat mengantuk dan terus masuk ke bilik untuk tidur.

Tiba-tiba aku terjaga dari tidur. Aku terlihat ada satu bayangan lembaga hitam sedang berdiri di pintu bilikku sambil memandang ke arah bilik tidur kami. Di sebelah bayangan hitam itu ada seekor kucing. Pada masa itu hanya pelita sahaja yang menerangi bilik tidur kami. Kelambu tempat ayahku tidur bersebelahan dengan kelambu tempat aku dan kakakku tidur.  Adik lelakiku pula di sebelah kelambu aku dan kakakku.  Kami sekeluarga tidur menggunakan kelambu untuk mengelakkan dari gigitan nyamuk.  Pernah ketika balik kampung, aku disuruh tidur dalam kelambu, rasa lemas tidak bernafas.
Pada mulanya aku menyangka ayahku yang sedang berdiri di situ. Tetapi di dalam hatiku berkata mengapa ia hanya berdiri di situ sambil memandang ke arah bilik tidur kami. Setelah agak lama aku memerhatikannya, aku lihat bayangan itu bergerak-gerak seolah-olah mengetahui aku sedang memerhatikannya. Barulah aku tahu bayangan lembaga hitam itu bukan ayahku. Badannya aku lihat berkilat-kilat kehitaman. Memang sah itu bukan ayahku, lantas aku pun menjerit sekuat-kuat hatiku. Aku merasakan seolah-olah lembaga itu telah masuk ke dalam kelambuku. Kakiku dengan kuat menendang-nendang lembaga tersebut. Apabila aku tersedar, aku melihat ayahku sedang memelukku.

Tiba-tiba ayahku dengan tangkas terus berlari ke luar dari bilik tidur kami menuju ke serambi. Menurut cerita ayahku, beliau nampak seolah-olah ada kelibat bayangan hitam di dalam rumah kami berlari ke luar. Sebab itulah dia berlari untuk mengejar lembaga hitam itu. Keesokan harinya semua penduduk di kawasan Felda Bukit Puchong gempar dengan berita tersebut. Apa yang aku ketahui, rumahku betul-betul berhadapan dengan simpang jalan yang berbentuk T juga merupakan laluan bagi sesiapa sahaja. Menurut kata orang tua-tua, hantu mana boleh jalan belok-belok, kalau dia nak jalan terus sahaja. Waulahualam...

Ingatkan kisah itu tidak berlaku lagi. Rupanya ada lagi kesinambungan ceritanya. Pada malam kedua pula, kebetulan bapa saudaraku yang tinggal bersama kami ketika itu masih bujang, tidur di rumah Pengurus Felda di Bukit Puchong itu, kerana ia berkawan dengan adik Pengurus Felda tersebut. Semasa mereka tidur, bapa saudaraku telah terjaga dari tidur kerana terdengar bunyi bising pinggan mangkuk berlaga-laga di dapur. Lantas ia pun menggerakkan kawannya bangun.

Menurut cerita bapa saudaraku, adik Pengurus Felda itu telah mengambil senapang patah dan dengan perlahan mereka menuju ke ruangan dapur. Alangkah terperanjatnya mereka, kerana kelihatan satu lembaga hitam berkilat-kilat berada di ruangan dapur itu seolah-olah sedang memasak sesuatu. Adik Pengurus Felda itu terus mengacukan senapang patah ke arah lembaga itu. Apabila lembaga itu melihat ada orang melihatnya, dengan tiba-tiba badannya mengecil dan terus mengecil hilang di tingkap yang telah terbuka. Meremang bulu romaku apabila mengenangkan peristiwa ini.

Penduduk Felda Bukit Puchong menjadi semakin gempar. Laporan kepada pihak polis telah dibuat. Pada malam ketiga pula orang minyak ini mengganggu seluruh penduduk di situ pula. Sekejap terdengar jeritan di hujung sebelah kanan, sekejap lagi terdengar jeritan di sebelah kiri pula. Keadaan menjadi kelam kabut. Ada seorang penduduk itu bercerita, ia mendengar seolah-olah bunyi budak menangis, apabila ia membuka pintu di lihatnya ada seekor monyet yang mukanya sebesar talam berdiri di luar. Semua penduduk di situ sentiasa di dalam ketakutan, begitu juga dengan aku sampai hendak membuang air pun takut hendak memasuki tandas.  Tandas dahulu di luar rumah, bukan seperti sekarang ini  tandas di dalam rumah.  Terpaksalah aku menyuruh adikku menemaniku ke tandas walaupun hari siang.  Merungut-rungut adikku kerana sikap penakutku itu.

Akhirnya penduduk di situ telah bermesyuarat. Mereka meletakkan lima enam keluarga di dalam satu rumah. Pihak lelaki pula berjaga di luar rumah. Semasa mereka berkawal dan telah terelihat lembaga itu, mereka memekik sambil mengepung kawasan itu, tetapi lembaga itu hilang begitu sahaja. Pernah ayahku bercerita, ia nampak lembaga itu sedang berjalan begitu hampir dengannya, lalu dengan cepat ayahku terus mengejar lembaga itu untuk menangkapnya. Oleh kerana ia terlalu geram dengan orang minyak itu, semasa ia mengejarnya ia tidak sedar ia telah berada di suatu kawasan semak yang gelap gelita. Malangnya orang minyak itu hilang jua. Perlbagai usaha telah dibuat tetapi orang minyak itu masih lagi bermaharaja lela di felda itu.

Kemudian, ada seseorang penduduk di situ yang telah mencadangkan agar menggunakan khidmat seorang bomoh.  Kata sepakat telah diambil, mereka semua bersetuju menggunakan khidmat bomoh.  Bomoh handal telah dikenal pasti, seorang bomoh muda dari istana dari Negeri Perak. Pihak Felda Bukit Puchong sendiri memberi keizinan menggunakan kenderaan untuk mengambil bomoh tersebut untuk dibawa ke Felda Bukit Puchong. Semasa di dalam perjalanan  menuju ke felda tersebut, menurut cerita ayahku tiba-tiba bomoh itu menyuruh pemandu itu berhenti dan ia pun keluar dari kenderaan tersebut. Rupanya ia telah dapat mencium tempat pemujaan orang minyak itu dan ia mematikan tempat pemujaan itu dengan caranya. Setelah selesai mereka meneruskan perjalanan dan menuju ke suatu rumah yang telah dipersetujui oleh semua penduduk felda tersebut.

Pada pagi itu, semua penduduk felda tersebut telah berkumpul di suatu tempat yang lapang.  Setelah bomoh tersebut membuat telekannya, beliau memaklumkan orang yang menjelma menjadi orang minyak itu adalah penduduk di situ juga.  Aku tidak pasti bagaimana ia menerangkan kepada semua penduduk di situ, tetapi yang pastinya mereka semua telah mengetahui siapakah orang yang dimaksudkan.  Semua penduduk di situ telah pergi ke rumah orang yang disyaki.   Ayahku bererita lagi, memandangkan tiada siapa yang berani untuk ke depan, lalu beliau terus pergi ke rumah orang itu dan mengetuk pintu dengan kuat.  Bila ayahku mengatakan beliaulah selama ini yang menjadi orang minyak, tetapi beliau menafikannya.  Ayahku terus mengoyakkan bajunya. Apa lagi bersirat-sirat tangkal bergayut di lehernya.   Akhirnya ayahku menangkapnya dan membawanya ke tempat bomoh tersebut. 

Semasa sampai di situ, bomoh tersebut juga telah mengatakan benarkah beliau yang empunya angkara.  Tetapi sekali lagi beliau menafikannya.  Bomoh tersebut mengatakan, jika tidak mengaku beliau akan melumurkan darah ayam hitam ke seluruh tubuh beliau.  Mungkin itu sumpahannya atau pantang larangnya tidaklah aku ketahui.   Akhirnya orang itu pun mengaku bersalah.   Pengurus Felda Bukit Puchong itu telah menjatuhkan hukuman beliau dibuang daerah, dan tidak boleh lagi bekerja di situ. Menurut ayahku, orang  minyak itu berasa iri hati  adalah disebabkan ayahku telah dilantik sebagai penyelia walaupun masih baru.  Menurut ayahku, Pengurus Felda itu telah melantik ayahku menjadi penyelia adalah berdasarkan pengalaman kerja sebelum ini dan kebolehan ayahku boleh bertutur bahasa Inggeris.  Waulahualam.......