Wednesday, October 20, 2010

AYAHKU KAWIN LAGI!


Ayahku telah diarahkan bertugas ke Sarawak.   Aku tidak pasti berapa lama tempoh yang telah diarahkan kepada ayahku untuk bertugas di sana.  Tinggalkan kami lima beradik bersama ibuku di rumah kami di Kampung Bumiputera, berdekatan dengan  jalan sekarang ini dikenali dengan nama Jalan Jelatik.   Segala urusan rumah semuanya diuruskan oleh ibuku seorang diri kerana kami semua masih kecil-kecil lagi.    Bayangkan ketika itu tidak ada paip air.  Tidak terbayang olehku bagaimana ibuku membasuh pakaian kami di air mata air yang agak jauh dari rumah kami, mengambil air untuk basuhan dan minuman.  Air untuk minum pula terpaksa diambil dari air paip besar yang mengambil masa 10 minit untuk pergi dan balik.  Ibuku mengharungi segala kesulitan itu dengan penuh kesabaran.   Sedangkan aku yang menguruskan dua orang anak sekarang pun sering menjerit memanggil anak-anakku sehingga satu blok boleh dengar suara jeritanku.  Ibu, ampunkan dosaku jika terdapat tutur bicara mahupun perbuatan yang menyinggung perasaanmu yang aku sedari atau tidak.  Ibu, tidak terbalas jasamu yang sebesar gunung kepada kami semua.  Halalkan air susu mu yang kami minum semasa kami masih kecil kecil.

Di suatu ketika, ibuku tidak ada duit untuk membeli makanan kami semua.  Aku pernah terilhat dia meminjam wang dari jiran di hadapan rumahku.  Jika aku tidak silap namanya makcik Zainab orang  dari negeri Kelantan dan suaminya  Ismail orang Penang.   Aku juga teringat kisah yang lucu dan sedih iaitu peristiwa seekor ayam betina telah masuk ke rumah kami untuk bertelur.  Kami semua duduk diam sambil mengintai ayam tersebut dengan harapan bolehlah telur itu nanti  dibuat lauk.  Sebak bila aku mengingati peristiwa itu.   Akhirnya ayam itu keluar dari rumah kami setelah mengetahui yang kami sedang mengintainya.
Setelah berbulan-bulan akhirnya  ayahku  pulang dari Sarawak.  Gembira rasanya bila ayahku telah pulang.

Aku teringat ibuku baru mengambil gaji bulanan (isteri askar mendapat gaji adalah gaji yang dipotong dari gaji suami) dan telah membeli mercun untuk kami bermain-main di hadapan rumah.  Memandangkan kakakku yang sulong, yang ketika itu berumur 8 tahun dialah yang berani untuk membakar mercun tersebut.  Kami cuma melihat sahaja.  Setelah mercun itu dibakar, dengan cepat kakakku melemparkan mercun itu jauh-jauh.    Tiba-tiba terdengar suatu jeritan.  Rupa-rupanya mercun yang kakakku lontar mercun itu telah terkena seorang budak lelaki yang sebaya denganku.   Aku dengar cerita ibu bapanya terpaksa membawanya ke klinik kerana mercun itu betul-betul terkena dekat .... (faham-faham sajelah).    

Keesokan harinya ibu bapanya telah datang ke rumah kami.   Ibuku cepat-cepat menyuruh kami keluar rumah dan pergi menyorokkan diri untuk tidak mengeruhkan keadaan.  Ini adalah kerana ayah kami masih lagi bertugas di Sarawak.  

Suatu peristiwa yang masih ku ingat ialah iaitu, di suatu petang ketika aku baru pulang dari sekolah (bayangkan umur aku pada waktu itu  baru berusia tujuh tahun tetapi aku terpaksa berjalan kaki dari Sekolah Rendah Kampung Datuk Keramat ke rumahku di Kampung Bumiputera.  Bukan seperti di masa kini ada bas sekolah, van dan sebagainya.  Apabila sampai sahaja di rumah, aku  terus meluru ke dapur untuk mencari air.

  Tiba-tiba mataku terpandangkan sebiji botol  di tepi dinding dapur yang mengandungi air yang begitu jernih.  Tanpa berlengah lagi, aku terus meneguk air tersebut.  Tiba-tiba aku rasa air yang ku minum seperti bau minyak tanah.   Apabila ibuku terlihat aku sedang meminum air botol yang berisi minyak tanah ia terus mengambilnya dari tanganku.   Tiba-tiba aku berasa seperti hendak muntah dan kepalaku berpusing ligat.    Apabila aku tersedar, hari sudahpun larut malam.   Aku tidak boleh bangun kerana kurasa dunia ini sedang berpusing dengan ligatnya.  

 Apabila aku terkenangkan peristiwa itu aku menjadi semakin mushkil kerana aku tidak pula di bawa ke klinik mungkin kerana ayahku masih di Sarawak dan ibuku pula tidak tahu untuk menguruskannya tetapi aku dibiarkan sehingga aku pulih dengan sendiri.   Tetapi Allah Maha Pengasih kerana tidak ada apa-apa yang berlaku kepadaku...Akhirnya setelah sekian lama ayahku kembali. Kami amat gembira dengan kepulangannya kerana kami telah mempunyai ayah kami kembali.  

Pada suatu petang, apabila aku  balik dari sekolah, ku lihat ibuku menangis dan dia mengeluarkan pakaian ayahku dari almari baju dan mengumpulkan semua pakaian ayahku termasuk uniform askarnya dan dilonggokkan di tanah tempat pembuangan sampah.   Dia mengambil minyak tanah dan dituangkan di atas longgokan pakaian ayahku.   Tiba-tiba kelihatan api menjulang tinggi dan begitu marak dengan kuatnya sambil membakar pakaian ayahku.  Kami adik beradik semua kehairanan di atas sikap ibuku yang agak keterlaluan.   Jiran-jiran kami semua terpinga-pinga melihat ibuku membakar pakaian ayahku.  Asap hitam berkepul-kepul naik ke angkasa.  Rupa-rupanya ibuku telah mengetahui ayahku telah berkahwin lagi dengan seorang gadis dari negeri Sarawak yang berumur 17 tahun ketika itu.   Dia berbangsa Bidayuh dan telah memeluk agama Islam dengan menggunakan nama Norlela binti Abdullah.











Tuesday, October 19, 2010

PERISTIWA BERDARAH 13 MEI 1969

Pada suatu petang, ayahku telah membawa aku dan kakakku ke kedai untuk bersiar-siar sambil untuk membeli peralatan sekolah kami.  Kami bertiga menaiki motor vespa yang  amat popular di zaman itu.  Semasa kami dalam perjalanan menuju ke kedai di pasar Keramat, sepanjang perjalanan kelihatan orang amat sibuk dan dalam kelam kabut dan ada yang berlari-lari kesana kemari dan di tangan mereka masing-masing  memegang senjata seperti parang, pisau, batang besi dan lain-lain lagi.   Ada yang menjerit ke arah kami supaya pulang dengan mengatakan orang Cina telah mengamuk.  Ayahku berhenti dan bertanyakan sesuatu dan akhirnya kami berpatah balik ke rumah.   Ayahku memaklum kepada jiran-jiran kami maklumat yang telah diperoleh tadi.  Mereka semua mengarahkan anak-anak mereka masuk ke rumah dan masing-masing bersedia dengan senjata yang ada. 
Pada sebelah malam kami diarahkan duduk ke dalam rumah jiran kami.  Kelihatan ada keluarga lain juga yang masing-masing duduk diam bersama ibu mereka.  Mulut ibuku dan juga kawan-kawannya yang lain terkumat kamit membaca al-fatihah dan juga ayat-ayat quran agar dijauhkan sebarang mala petaka.   Tiba-tiba terdengar bunyi riuh rendah dan jeritan memecah sunyi.  Kami semua menggigil ketakutan.  Terdengar suara diari luar mengatakan rumah terbakar selang 3 rumah dari tempat kami berkumpul.    Bunyi riuh orang berlari, bunyi dentuman dan lain-lain lagi berlarutan sehingga ke pagi.
Keesokan harinya kelihatan ayahku memakai uniform askar berselepang merah.  Dia juga mempunyai senapang di tangannya. Aku tidak mengerti apa yang sudah berlaku kerana ketika itu aku baru berumur 7 tahun.   Ayahku ttelah menghantar kami sekeluarga ke rumah quarters kem askar di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.  Di sana juga terdapat lebih 2 - 3 keluarga di rumah yang kami tumpangi.  Pelbagai cerita yang kudengar tetapi aku masih tidak mengerti situasi yang telah melanda ketika itu.   Apabila keadaan telah aman dan terkawal kami pun pulang semula ke rumah kami.  Semasa aku dan kawan-kawanku bermain-main, ku terpandang  rumah yang selalu aku lalu lalang di situ seperti kawasan padang jarak padang tekukurkerana rumah-rumah di kawasan tersebut telah habis terbakar.  Yang tinggal hanyalah tunggul kayu yang telah hangus dan debu-debu papan kayu bersepah-sepah di atas tanah.  Kami mengutip apa yang boleh kami guna untuk bermain.  Kawan-kawanku mengatakan banyak duit siling yang dia jumpa. 
Pelbagai cerita yang aku dengar.   Kebanyakan rumah yang terbakar itu kepunyaan yang berbangsa Cina.   Aku  bersyukur kerana tuhan masih lagi menyayangi aku dan keluaargaku kerana terselamat dari segala kekalutan yang berlaku ketika itu. 

Thursday, October 14, 2010

BERMULANYA KEHIDUPANKU DI SINI...

Aku telah dilahirkan pada 9 November 1961 di sebuah kampung yang bernama Tanah Lalang, Bagan Datuk, Perak. Aku telah diberi nama Nurafidah Hanum binti Ramli oleh ayahku dan aku amat bangga dan suka dengan nama itu. Ibuku pernah bercerita kepadaku waktu beliau melahirkanku ketika itu waktu senja Semasa ibuku melahirkanku pada ketika itu, ayahku tiada disisi ibu, kerana ayahku sedang bertugas di Conggo, Afrika. Ayahku seorang askar dan telah pergi ke Conggo sebagai pegawai pengaman. Conggo ketika itu sedang bergolak peperangan saudara. Nasib baik ada adik ibuku yang ketika itu masih remaja.  Beliau berlari dengan pantas ke rumah mak bidan untuk memaklumkan yang ibuku akan bersalin.  Akhirnya dengan izin Allah s.w.t aku selamat dilahirkan jam lebih kurang 7.00 malam.  Aku boleh bayangkan bagaimana perasaan ibuku ketika itu, kerana suami tiada disisinya semasa melahirkan aku, kerana sekarang ini aku juga seorang isteri dan juga seorang ibu.  Jika aku berada di tempatnya ketika itu, entah berapa banyak agaknya air mataku tertumpah ke bumi kerana aku ini seorang yang berjiwa halus dan terlalu sentimental.  Itulah kelemahan sikapku, kerana apa sahaja yang menyentuh perasaanku cepat betul air mataku keluar, walaupun sehabis daya aku cuba untuk menahannya.

Semasa aku berumur 4 tahun, ayahku telah menyewa di sebuah rumah di Lorong Keramat 1, Kuala Lumpur.   Di sekeliling kawasan rumahku tanahnya berpasir seperti di tepi laut. Mungkin kebersihan kurang di titik beratkan ketika itu, kedua-dua tanganku berkudis-kudis dan apabila di bawa ke hospital, kedua-dua tanganku dibalut.  Aku disuap oleh ibuku ketika makan nasi memandangkan tanganku yang berbalut. Di hadapan rumahku pula terdapat sebatang pokok rambutan.  Apabila buahnya mula menampakkan hasil, aku memanjat pokok rambutan tersebut tanpa pengetahuan ibu bapaku.  Akhirnya aku telah jatuh dari pokok rambutan itu.  Aduh......Nasib baik tidak ada tulangku yang patah, tetapi aku telah diberi kata dua oleh ayahku.  Aku bersyukur kepada Allah s.w.t kerana aku terselamat dan tuhan masih lagi memberiku peluang untuk merasai kehidupan ini...

Selepas itu ayahku menyewa serumah setinggan di Kampung Bumiputera, betul-betul di belakang RRI, Jalan Ampang.  Ada satu peristiwa yang aku ingat semasa itu aku mungkin berumur 5 tahun.   Aku mengikut ibuku membasuh kain di sebuah telaga.  Semasa ibuku membasuh kain, aku cuba mengambil air di dalam telaga tersebut dengan menggunakan timba yang bertali.  Airnya agak dalam juga  kalau dibandingkan dengan umur aku ketika itu.  Tiba-tiba aku rasa kedua-dua kakiku terangkat dan badanku hampir jatuh ke dalam telaga, tetapi ibuku sempat dapat menangkap kakiku.  Jika tidak, mungkin aku sudah menjadi arwah.  Bila ku kenang peristiwa itu, seram sejuk rasanya badan ini.  Tuhan masih lagi memberiku peluang kedua untuk aku  merasai hidup ini......

Selepas itu yang kuingat bapaku telah menyewa di sebuah rumah yang berhampiran dengan pasar di Keramat, Kuala Lumpur.  Aku telah disekolahkan di Sekolah Rendah Kebangsaan Keramat 2.  Setiap hari ibuku mengantarku ke sekolah.  Yang menghairankanku sehingga kini, kenapa aku selalu menangis di hadapan pintu pagar sekolah sehinggakan penjaga lalu lintas terpaksa menarik dan mengangkatku masuk ke dalam kawasan sekolah.  Apabila di dalam kelas pula ada pula kawan sekelasku yang selalu mengangguku.  Mungkinkah itu yang menyebabkan mengapa aku tidak mahu ke sekolah.  Akhirnya aku ditukarkan ke sesi petang kerana kakakku bersekolah di sesi petang.  Yang menghairankanku kenapa aku  tidak disekolahkan dalam sesi yang sama sebelum ini.  Sehingga kini aku masih tidak mendapat jawapannya kerana ayahku telah lama mengadap Ilahi dan aku pula tidak bertanya kepada ibuku. Sejak aku bersama kakakku, aku tidak membuat perangai kerana kakakku akan menjagaku jika ada sesiapa yang mengganggku.  Lucunya bila kukenangkan peristiwa silamku...