Tuesday, December 28, 2010

IBU DI BELAKANG!

Semasa kami berada di kampung, pelbagai aktiviti dapat kami pelajari iaitu salah satunya ialah belajar menaiki basikal. Disamping itu kami juga mencari tombong kelapa di tempat kelapa yang akan disalai. Di kampungku terkenal dengan buah kelapa. Sepanjang pemandangan di kampungku di kiri dan kanan hanyalah pokok kelapa yang tinggi melangit.
Apabila tiba musim bapa saudaraku dan atukku menurunkan buah kelapa, mereka menggunakan buluh yang panjang dan sabit diikat dihujungnya. Jika buluh itu tidak panjang, mereka akan membuat sambungan dengan buluh yang lain agar ia lebih panjang. Untuk menaikkan buluh juga memerlukan kemahiran dan kekuatan fizikal. Bapa saudaraku dan atukku akan menurunkan buah kelapa yang tua sahaja. Semasa menurunkan buah kelapa, bunyi dentuman terdengar di sini sana. Setelah semua buah kelapa tua diturunkan, mereka akan mengumpulkan buah kelapa dan dijadikan beberapa longgok.
Keesokan harinya mereka akan membuang kulit kelapa dengan menggunakan cop. Setelah kulit kelapa dibuang, sabutnya diletakkan di satu longgok dan buah yang tidak bersabut akan diletakkan di satu longgok yang lain. Begitu pantas dan cepat mereka menanggalkan sabut dari buah kelapa. Setelah habis semua buah kelapa dibuang sabutnya, bapa saudara dan atokku akan memecahkan buahnya dengan menggunakan cop yang digunakan untuk menanggalkan sabut tadi. Buah kelapa tersebut dipecah menjadi kepada dua bahagian. Akhir sekali buah tersebut akan dimasukkan ke dalam guni dan dibawa ke rumah salai. Semasa buah tersebut diletakkan di rumah salai, di sinilah kami adik beradik mencari tombong yang manis untuk dimakan. Pernah adikku Faizah yang ketika iatu berumur 5 tahun, sibuk mencari tombong tiba-tiba kakinya tergelincir dan jatuh ke bawah. Terpaksalah ibuku mencari tukang urut untuk mengurut adikku. Perlbagai aktiviti di kampung kami lakukan.
Suatu hari dari jauh ada orang sedang menuju ke rumah kami. Rupa-rupanya ayahku pulang. Kamu semua berlari menuju ke arahnya. Kegembiraan kami terserlah pada malam itu semasa kami semua makan malam.

Keesokan harinya kami dibangunkan lebih awal oleh ibuku. Setelah kami semua mandi kami dipakaikan baju baru oleh ayahku Yang peliknya ibuku tidak pula bersiap-siap seperti kami semua. Ia asyik membuat sarapan kami di dapur. Semasa ayahku sedang memakaikan bajuku dan adik-adiku ia berkata kepadaku jika ada sesiapa yang bertanyakan ibu semasa kami berjalan keluar dari kampung itu nanti, katakan ibu ada di belakang. Aku tidak tahu kenapa ayahku berkata demikian. Sebelum kami pergi, ibuku memeluk kami semua sambil menangis, aku juga menangis walaupun tidak mengerti apa yang telah berlaku. Barulah aku mengerti bahawa ibuku tidak mahu lagi mengikuti ayahku kerana ayahku telah berkahwin lagi.

Friday, December 17, 2010

BALIK KAMPUNG

Pada hujung tahun 1969 Ibuku dan kami lima beradik telah berhijrah ke kampung ibu di Tanah Lalang, Perak. Aku sendiri tidak pasti kenapa kami berada kampung tersebut, mungkin ibuku mempunyai alasannya yang tersendiri untuk tinggal di kampungnya. Ayahku pula tinggal di Kuala Lumpur bersama isteri barunya.
Di kampungku ketika itu tidak ada sebarang kemudahan seperti api dan air. Apabila waktu malam kami semua berkumpul mengadap lampu pelita kerana di sekeliling kami gelap gelita. Di hadapan rumah atukku pula ada sebuah kolam yang besar dan agak dalam yang dikhaskan untuk mandi sahaja. Ada tangga yang diletakkan ditepi kolam tersebut untuk memudahkan kami turun ke bawah. Setiap kami mandi, air kolam tersebut akan menjadi keruh dan selalu menjadi kemarahan atukku kerana sikap kami yang bermain di dalam kolam tersebut. Selepas mandi kami aku melalui batang kelapa untuk naik ke rumah untuk mengelakkan kaki kami tidak terkena tanah atau kekotoran. Tinggal di kampung dapat juga kami belajar menaiki basikal. Pernah kakakku jatuh ke dalam parit kerana menaiki basikal atuk yang besar. Seronok juga bila mengenangkan cara hidup yang sedemikian.
Pada awal bulan Januari 1970 Aku dan kakakku di sekolahkan di sekolah rendah di kampung tersebut. Semasa itu, aku berumur 9 tahun dan kakakku pula berumur 10 tahun. Pada hari pertama kami bersekolah di situ, ada perhimpunan di depan sekolah kerana kebetulan hari itu hari Isnin. Semua murid-murid dan guru-guru berhimpun di situ. Setelah Guru Besar memberi amanat kepada semua, beliau memaklumkan ada dua orang murid baru dari Kuala Lumpur bersekolah di sekolah ini. Sudah semestinya aku dan kakakku yang diperkatakan oleh guru besar itu. Kami di suruh berdiri ke hadapan di hadapan semua murid-murid tersebut. Yang agak mengharukan aku ialah bila guru besar tersebut memaklumkan kepada murid-murid di situ, mereka sepatutnya memakai pakaian sekolah seperti kami yang lengkap dengan stokin dan kasut. Barulah aku sedari semasa kami bersekolah di situ, ada yang memakai selipar dan ada yang memakai kasut tanpa stokin. Kekurangan tersebut kemungkinan kerana kedaifan keluarga mereka ataupun kerana sukar untuk membelinya kerana jauh dari kedai. Itulah kelebihan bersekolah di bandar ketika itu yang lebih menitikberatkan disiplin dan lain-lain lagi. Tetapi sekarang ini aku lihat sama sahaja.
Setiap kali aku pulang dari sekolah aku akan melalui kawasan tanah perkuburan dan aku akan berlari sekuat hati kerana sebelum ini aku tidak pernah melihat pun kawasan tanah perkuburan.
Semasa peperiksaan pertengahan tahun aku telah mendapat nombor 3. Ini bermakna di dalam kelasku ada 2 orang lagi yang lebih pintar dariku walaupun mereka tinggal di kampung yang serba kekurangan. Bagaimanakah hidup mereka sekarang? Mungkin hidup mereka lebih bernasib baik dari aku atau sebaliknya. Aku sendiri pun tidak tahu.....

Tuesday, November 9, 2010

SEDANGKAN NABI KASIHKAN UMAT!

CUBAAN UNTUK BERBAIK-BAIK!

Kini ayahku telah mempunyai dua orang isteri.  Isteri tua yang mempunyai lima orang anak dan isteri kedua yang masih muda remaja berusia 17 tahun.  Isterinya yang kedua tinggal bersama nenek saudaraku di seberang lombong di Kampung Bumiputera. Sekarang lombong itu sudah tiada lagi, yang tinggal hanyalah lubuk sampah sarap yang begitu kotor dan berbau busuk.  Dahulu lombong itu menjadi tumpuan orang Cina memungut buah dan bunga teratai yang banyak tumbuh di situ.  Kami juga sering memancing ikan dan juga menjadi tempat penghuni di kampung tersebut mandi manda dan membasuh baju. 

Suatu petang kulihat satu rombongan telah datang ke rumahku.  Di suatu sudut kelihatan ibuku duduk di tepi tingkap sambil memandang ke luar dan menangis.  Mukanya hanya memandang ke arah luar tingkap dan tidak mengendahkan tetamu yang hadir di rumah kami. Ku lihat nenek saudaraku, makcik-makcik yang tinggal berdekatan dengan rumah nenekku dan yang tetamu yang tidak diundang ialah ibu tiriku yang sedang duduk di ruang tamu.   Ayahku pula duduk di antara dapur dengan ruang tamu sambil melihat ibuku yang asyik memandang ke luar tingkap. 
Tiba-tiba ayahku memberi isyarat kepada ibu tiriku supaya bersalaman dan memohon maaf pada ibuku.  Ibu tiriku bangun berjalan dan menuju ke arah ibuku sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman.  Ibuku buat-buat tidak tahu sahaja seolah-olah ibu tiriku tidak wujud di hadapannya.   Setelah hampir 5 minit, ayahku menyuruh ibu tiriku bangun.  Ibu tiriku membalas dengan bertutur dalam bahasa Inggeris dengan ayahku yang bermaksud dia hendak menunggu di situ untuk mendengar suara ibuku.  Ayahku marah dan menyuruh ibuku tiriku bangun dan keluar.   Ibu tiriku terus berlari keluar dari rumahku dan berjalan balik menuju ke rumah nenek saudaraku tanpa ditemani oleh sesiapa. Akhirnya rancangan ayahku supaya isteri-isterinya berbaik-baik dan berkenalan sesama mereka tidak kesampaian.

Monday, November 1, 2010

PONTENG SEKOLAH!

Semasa aku berumur 8 tahun, aku kerap ponteng dari sekolah.  Bila aku kenangkan peristiwa itu, aku sendiri pun tidak tahu mengapa aku berbuat demikian.  Beg sekolah aku ketika itu seperti beg James Bond, bentuknya segi empat sama.  Jika aku hendak membuka beg tersebut aku terpaksa menolak butang di kiri dan di kanan beg tersebut.  Aku bersekolah di sebelah petang.  Sebelum aku pergi ke sekolah, ibuku selalu menyediakan bekalan untuk ku bawa bekalan tersebut ke sekolah.

Yang menghairankan aku sendiri, semasa aku berjalan untuk pergi ke sekolah melalui rumah-rumah di sekitar kampung Bumiputra aku tidak pun pergi ke sekolah, tetapi sebaliknya aku menuju di bawah sebuah rumah.   Aku duduk di situ sehingga petang dan apabila aku terlihat sekiranya ada budak-budak lain balik dari sekolah, aku pun pulang ke rumah seolah-olah aku juga baru balik dari sekolah.  Semasa aku menyorok di bawah rumah tersebut, terdengar suara seorang wanita dari atas rumah  yang mengatakan anak siapa pula yang duduk di bawah rumahnya.

Pada suatu petang, seperti biasa aku pulang dari sekolah.  Muka ayahku merah memandangku seperti hendak menelanku  Rupanya ayahku telah mengetahui yang aku tidak hadir ke sekolah sekian lama yang aku sendiri juga tidak berapa pasti.  Beliau telah memegang tali pinggang askarnya untuk menyoalku dan sudah tentu untuk memukulku.   Semasa aku sedang membuka pakaianku, aku terlihat ayahku menuju ke arahku dan di tangannya memegang tali pinggang.  Dengan tidak berbaju ketika itu dengan cepat aku berlari ke luar dan menyorok mana yang boleh untuk ku selamatkan dkriku.  Ayahku mencariku ke segenap pelusok kampung dengan menaiki motor vespanya.  Begitu juga dengan kakakku berumur 9 tahun dan sepupuku yang berusia 10 tahun telah disuruh oleh ayahku untuk menangkapku.  Pantang nampak kelibat ayahku atau kakakku, aku berlari dan berlari untuk menyelamatkan diriku.

Akhirnya, malang tidak berbau.   Semasa aku sedang menyorok di belakang sebuah rumah tiba-tiba tanganku dipegang oleh kakakku dan sepupuku.  Aku tidak dapat berlari lagi.  Aku ternampak motor vespa ayahku menuju ke arahku.   Aku merasa amat takut dan aku tahu apa yang akan berlaku.   Ayahku mengangkatku naik ke atas motornya ke rumah kami.   Akhirnya  tanda birat bekas terkena tali pinggang askar ayahku terbentuk di badan dan kakiku.   Aku menangis teresak-esak kerana kesakitan dan sedih.  Walau bagaimanapun, aku bersyukur kepada Allah kerana akhirnya sekarang ini aku menjadi seorang manusia yang berguna kerana aku telah bekerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka dan mempunyai pekerjaan tetap untuk menyara diriku dan keluargaku.

video


Wednesday, October 20, 2010

AYAHKU KAWIN LAGI!


Ayahku telah diarahkan bertugas di Sarawak.   Aku tidak pasti berapa lama tempoh yang telah diarahkan kepada ayahku untuk bertugas di sana.  Tinggalkan kami lima beradik dan bersama ibuku di rumah kami di Kampung Bumiputera, berdekatan dengan sekarang ini dikenali dengan nama Jalan Jelatik.   Segala urusan rumah semua diuruskan oleh ibuku seorang diri.    Bayangkan ketika itu tidak ada paip air.  Tidak terbayang olehku bagaimana ibuku membasuh kain pakaian kami di air mata air yang agak jauh dari rumah kami, mengambil air untuk basuhan dan minuman.  Air untuk minum pula terpaksa diambil dari air paip besar yang mengambil masa 20 minit untuk pergi dan balik.  Ibuku mengharungi segala kesulitan itu dengan penuh kesabaran.   Sedangkan aku yang menguruskan dua orang anak pun sering menjerit memanggil anak-anakku sehingga satu blok boleh dengar suara jeritanku.  Ibu, ampunkan dosaku jika terdapat tutur bicara mahupun perbuatan yang menyinggung perasaanmu yang aku sedari atau tidak.  Ibu, tidak terbalas jasamu yang sebesar gunung kepada kami semua.  Halalkan air susu mu yang kami minum semasa kecil.

Di suatu ketika, ibuku tidak ada duit untuk membeli makanan kami semua.  Aku pernah terilhat dia meminjam wang dari jiran di hadapan rumahku.  Jika aku tidak silap namanya Zainab orang Kelantan dan suaminya  Ismail orang Penang.   Aku juga teringat kisah yang lucu dan sedih iaitu peristiwa seekor ayam betina telah masuk ke rumah kami untuk bertelur.  Kami semua duduk diam sambil mengintai ayam tersebut dengan harapan bolehlah telur itu nanti  dibuat lauk.  Sebak bila aku mengingati peristiwa itu.   Akhirnya ayam itu keluar dari rumah kami setelah mengetahui yang kami sedang mengintainya.
Setelah sekian lama, ayahku telah pulang dari Sarawak. 

Aku teringat ibuku baru mengambil gaji bulanan (isteri askar mendapat gaji adalah gaji yang dipotong dari gaji suami) dan telah membeli mercun untuk kami bermain-main di hadapan rumah.  Memandangkan kakakku yang ketika itu berumur 8 tahun dialah yang berani untuk membakar mercun tersebut.  Kami cuma melihat sahaja.  Setelah mercun itu dibakar, dengan cepat kakakku melemparkan mercun itu jauh-jauh.    Tiba-tiba terdengar suatu jeritan.  Rupa-rupanya mercun itu telah terkena seorang budak lelaki yang sebaya denganku.   Aku dengar cerita ayahnya terpaksa membawa ke klinik kerana mercun itu betul-betul terkena dekat .... (faham-faham sajelah).    Keesokan harinya ibu bapanya telah datang ke rumah kami.   Ibuku cepat-cepat menyuruh kami keluar rumah dan pergi menyorokkan diri untuk tidak mengeruhkan keadaan.  Ini adalah kerana ayah kami masih lagi bertugas di Sarawak.  

Suatu peristiwa yang masih ku ingat ialah iaitu, di suatu petang ketika aku baru pulang dari sekolah (bayangkan umur aku pada waktu itu  baru berusia tujuh tahun tetapi aku terpaksa berjalan kaki dari Sekolah Rendah Kampung Datuk Keramat ke rumahku di Kampung Bumiputera.  Bukan seperti di masa kini ada bas sekolah, van dan sebagainya.  Apabila sampai sahaja di rumah, aku  terus meluru ke dapur untuk mencari air.  Tiba-tiba mataku terpandangkan sebiji botol  di tepi dinding dapur yang mengandungi air yang begitu jernih.  Tanpa berlengah lagi, aku terus meneguk air tersebut.  Tiba-tiba aku rasa air yang ku minum seperti bau minyak tanah.   Apabila ibuku terlihat aku sedang meminum air botol yang berisi minyak tanah ia terus mengambilnya dari tanganku.   Tiba-tiba aku berasa seperti hendak muntah dan kepalaku berpusing ligat.    Apabila aku tersedar, hari sudahpun larut malam.   Aku tidak boleh bangun kerana kurasa dunia ini sedang berpusing dengan ligatnya.   Apabila aku terkenangkan peristiwa itu aku menjadi semakin mushkil kerana aku tidak pula di bawa ke klinik mungkin kerana ayahku masih di Sarawak dan ibuku pula tidak tahu untuk menguruskannya tetapi aku dibiarkan sehingga aku pulih dengan sendiri.   Tetapi Allah Maha Pengasih kerana tidak ada apa-apa yang berlaku kepadaku...Akhirnya setelah sekian lama ayahku kembali. Kami amat gembira dengan kepulangannya kerana kami telah mempunyai ayah kami kembali.  

Pada suatu petang, apabila aku  balik dari sekolah, ku lihat ibuku menangis dan dia mengeluarkan pakaian ayahku dari almari baju dan mengumpulkan semua pakaian ayahku termasuk uniform askarnya dan dilonggokkan di tanah tempat pembuangan sampah.   Dia mengambil minyak tanah dan dituangkan di atas longgokan pakaian ayahku.   Tiba-tiba kelihatan api menjulang tinggi dan begitu marak dengan kuatnya sambil membakar pakaian ayahku.  Kami adik beradik semua kehairanan di atas sikap ibuku yang agak keterlaluan.   Jiran-jiran kami semua terpinga-pinga melihat ibuku membakar pakaian ayahku.  Asap hitam berkepul-kepul naik ke angkasa.  Rupa-rupanya ibuku telah mengetahui ayahku telah berkahwin lagi dengan seorang gadis dari negeri Sarawak yang berumur 17 tahun ketika itu.   Dia berbangsa Bidayuh dan telah memeluk agama Islam dengan menggunakan nama Norlela binti Abdullah.











Tuesday, October 19, 2010

PERISTIWA BERDARAH 13 MEI 1969

Pada suatu petang, ayahku telah membawa aku dan kakakku ke kedai untuk bersiar-siar sambil untuk membeli peralatan sekolah kami.  Kami bertiga menaiki motor vespa yang  amat popular di zaman itu.  Semasa kami dalam perjalanan menuju ke kedai di pasar Keramat, sepanjang perjalanan kelihatan orang amat sibuk dan dalam kelam kabut dan ada yang berlari-lari kesana kemari dan di tangan mereka masing-masing  memegang senjata seperti parang, pisau, batang besi dan lain-lain lagi.   Ada yang menjerit ke arah kami supaya pulang dengan mengatakan orang Cina telah mengamuk.  Ayahku berhenti dan bertanyakan sesuatu dan akhirnya kami berpatah balik ke rumah.   Ayahku memaklum kepada jiran-jiran kami maklumat yang telah diperoleh tadi.  Mereka semua mengarahkan anak-anak mereka masuk ke rumah dan masing-masing bersedia dengan senjata yang ada. 
Pada sebelah malam kami diarahkan duduk ke dalam rumah jiran kami.  Kelihatan ada keluarga lain juga yang masing-masing duduk diam bersama ibu mereka.  Mulut ibuku dan juga kawan-kawannya yang lain terkumat kamit membaca al-fatihah dan juga ayat-ayat quran agar dijauhkan sebarang mala petaka.   Tiba-tiba terdengar bunyi riuh rendah dan jeritan memecah sunyi.  Kami semua menggigil ketakutan.  Terdengar suara diari luar mengatakan rumah terbakar selang 3 rumah dari tempat kami berkumpul.    Bunyi riuh orang berlari, bunyi dentuman dan lain-lain lagi berlarutan sehingga ke pagi.
Keesokan harinya kelihatan ayahku memakai uniform askar berselepang merah.  Dia juga mempunyai senapang di tangannya. Aku tidak mengerti apa yang sudah berlaku kerana ketika itu aku baru berumur 7 tahun.   Ayahku ttelah menghantar kami sekeluarga ke rumah quarters kem askar di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.  Di sana juga terdapat lebih 2 - 3 keluarga di rumah yang kami tumpangi.  Pelbagai cerita yang kudengar tetapi aku masih tidak mengerti situasi yang telah melanda ketika itu.   Apabila keadaan telah aman dan terkawal kami pun pulang semula ke rumah kami.  Semasa aku dan kawan-kawanku bermain-main, ku terpandang  rumah yang selalu aku lalu lalang di situ seperti kawasan padang jarak padang tekukurkerana rumah-rumah di kawasan tersebut telah habis terbakar.  Yang tinggal hanyalah tunggul kayu yang telah hangus dan debu-debu papan kayu bersepah-sepah di atas tanah.  Kami mengutip apa yang boleh kami guna untuk bermain.  Kawan-kawanku mengatakan banyak duit siling yang dia jumpa. 
Pelbagai cerita yang aku dengar.   Kebanyakan rumah yang terbakar itu kepunyaan yang berbangsa Cina.   Aku  bersyukur kerana tuhan masih lagi menyayangi aku dan keluaargaku kerana terselamat dari segala kekalutan yang berlaku ketika itu. 

Thursday, October 14, 2010

BERMULANYA KEHIDUPANKU DI SINI...

Aku telah dilahirkan pada 9 November 1961 di sebuah kampung yang bernama Tanah Lalang, Bagan Datuk, Perak. Aku telah diberi nama Nurafidah Hanum binti Ramli oleh ayahku dan aku amat bangga dan suka dengan nama itu. Ibuku pernah bercerita kepadaku waktu beliau melahirkanku ketika itu waktu senja Semasa ibuku melahirkanku pada ketika itu, ayahku tiada disisi ibu, kerana ayahku sedang bertugas di Conggo, Afrika. Ayahku seorang askar dan telah pergi ke Conggo sebagai pegawai pengaman. Conggo ketika itu sedang bergolak peperangan saudara. Nasib baik ada adik ibuku yang ketika itu masih remaja.  Beliau berlari dengan pantas ke rumah mak bidan untuk memaklumkan yang ibuku akan bersalin.  Akhirnya dengan izin Allah s.w.t aku selamat dilahirkan jam lebih kurang 7.00 malam.  Aku boleh bayangkan bagaimana perasaan ibuku ketika itu, kerana suami tiada disisinya semasa melahirkan aku, kerana sekarang ini aku juga seorang isteri dan juga seorang ibu.  Jika aku berada di tempatnya ketika itu, entah berapa banyak agaknya air mataku tertumpah ke bumi kerana aku ini seorang yang berjiwa halus dan terlalu sentimental.  Itulah kelemahan sikapku, kerana apa sahaja yang menyentuh perasaanku cepat betul air mataku keluar, walaupun sehabis daya aku cuba untuk menahannya.

Semasa aku berumur 4 tahun, ayahku telah menyewa di sebuah rumah di Lorong Keramat 1, Kuala Lumpur.   Di sekeliling kawasan rumahku tanahnya berpasir seperti di tepi laut. Mungkin kebersihan kurang di titik beratkan ketika itu, kedua-dua tanganku berkudis-kudis dan apabila di bawa ke hospital, kedua-dua tanganku dibalut.  Aku disuap oleh ibuku ketika makan nasi memandangkan tanganku yang berbalut. Di hadapan rumahku pula terdapat sebatang pokok rambutan.  Apabila buahnya mula menampakkan hasil, aku memanjat pokok rambutan tersebut tanpa pengetahuan ibu bapaku.  Akhirnya aku telah jatuh dari pokok rambutan itu.  Aduh......Nasib baik tidak ada tulangku yang patah, tetapi aku telah diberi kata dua oleh ayahku.  Aku bersyukur kepada Allah s.w.t kerana aku terselamat dan tuhan masih lagi memberiku peluang untuk merasai kehidupan ini...

Selepas itu ayahku menyewa serumah setinggan di Kampung Bumiputera, betul-betul di belakang RRI, Jalan Ampang.  Ada satu peristiwa yang aku ingat semasa itu aku mungkin berumur 5 tahun.   Aku mengikut ibuku membasuh kain di sebuah telaga.  Semasa ibuku membasuh kain, aku cuba mengambil air di dalam telaga tersebut dengan menggunakan timba yang bertali.  Airnya agak dalam juga  kalau dibandingkan dengan umur aku ketika itu.  Tiba-tiba aku rasa kedua-dua kakiku terangkat dan badanku hampir jatuh ke dalam telaga, tetapi ibuku sempat dapat menangkap kakiku.  Jika tidak, mungkin aku sudah menjadi arwah.  Bila ku kenang peristiwa itu, seram sejuk rasanya badan ini.  Tuhan masih lagi memberiku peluang kedua untuk aku  merasai hidup ini......

Selepas itu yang kuingat bapaku telah menyewa di sebuah rumah yang berhampiran dengan pasar di Keramat, Kuala Lumpur.  Aku telah disekolahkan di Sekolah Rendah Kebangsaan Keramat 2.  Setiap hari ibuku mengantarku ke sekolah.  Yang menghairankanku sehingga kini, kenapa aku selalu menangis di hadapan pintu pagar sekolah sehinggakan penjaga lalu lintas terpaksa menarik dan mengangkatku masuk ke dalam kawasan sekolah.  Apabila di dalam kelas pula ada pula kawan sekelasku yang selalu mengangguku.  Mungkinkah itu yang menyebabkan mengapa aku tidak mahu ke sekolah.  Akhirnya aku ditukarkan ke sesi petang kerana kakakku bersekolah di sesi petang.  Yang menghairankanku kenapa aku  tidak disekolahkan dalam sesi yang sama sebelum ini.  Sehingga kini aku masih tidak mendapat jawapannya kerana ayahku telah lama mengadap Ilahi dan aku pula tidak bertanya kepada ibuku. Sejak aku bersama kakakku, aku tidak membuat perangai kerana kakakku akan menjagaku jika ada sesiapa yang mengganggku.  Lucunya bila kukenangkan peristiwa silamku...